top of page

Liku-Liku Kehidupan

Oleh: Nur Hanani Binti Azmi

       Secara zahirnya, bermula dari anak kecil menjadi dewasa, mendalami ilmu juga bekerja keras. Selanjutnya, berumah tangga punya anak langsung menumbuh usia sehingga tua, lalu menunggu penghujung cerita apa kesudahannya. Kitaran hidup yang sama buat manusia bermula dari usia muda hingga usia tua namun manusia itu melalui liku-liku kehidupan yang berbeza dan tidak akan sama.

Mengapa begitu?

Bayangkan apa yang terjadi jika liku-liku kehidupan itu sama buat semua manusia?

      Semestinya tiada proses dalam kehidupan kerana pengalaman yang sama dilalui oleh manusia tidak mampu mengajar manusia apa itu kehidupan. Lantaran itu, Allah juga telah menetapkan qada dan qadar dalam hidup bagi seseorang manusia yang bergelar insan di dunia ini sejak di alam roh lagi. Agar setiap yang berlaku itu, kita sama-sama boleh mempelajari dan mengambil pengajaran dari setiapnya. Pengalaman jualah yang mematangkan seseorang dan membuat seseorang itu kuat. Namun, pengalaman juga boleh membinasakan seseorang.

        Selain itu, tidak semua yang dilakukan oleh manusia itu benar dan tidak juga salah. Diri kitalah yang harus menilai mana yang betul mahupun salah. Namun, jangan hanya menilai dan menerima sesuatu tanpa asal usul kebenaran. Dan jangan juga tersilap nilai oleh kerana masalah peribadi, kerana ia bisa membinasakan diri kita. Jika mereka melakukan kesalahan, jangan tegur mereka secara kasar dan secara bermusuhan, sebaliknya tegurlah dengan baik dan berhemah. Jika kamu melakukan kesalahan, mohonlah maaf secara baik kerana ia tidak merugikanmu apa pun malah ia dapat menenangkan hatimu.

   Rententan itu, janganlah kamu mempertahankan apa yang salah serta jangan mempersoalkan apa yang benar. Mungkin mempersoalkan apa yang benar mendatangkan jawapan yang kamu tidak inginkan. Jadilah seorang yang banyak bertanya, jangan banyak menyoal kerana bertanya itu lebih baik dari menyoal. Jangan menyamakan bertanya dan menyoal kerana ia merupakan perkara yang berbeza. Jika mahu bertanya, bertanyalah perkara yang logik pada akal fikiran dan beranikan diri untuk bertanya. Jangan takut dan malu untuk bertanya. Dengan bertanya, ia mungkin boleh menjadikan hidupmu lebih baik.

      Kehidupan ini kadang membawamu menelusuri susur galur yang tidak pernah kamu fikirkan. Mungkin di pertengahan jalan kamu akan tertanya apa kesudahan yang menanti di penghujungnya? Apakah yang telah aku lakukan sehingga perlu malalui ini? Adakah ia bakal ditutup dengan suka ataupun duka? Persoalan ini juga menjadi pembakar semangat buatmu meneruskan perjalanan kerana kamu tahu Dia tidak akan memberikan kepadamu perkara yang kamu tidak mampu, serta Dia jugalah yang akan menemanimu sehingga penhujungnya.

    Setiap perjalanan yang kamu lalui dalam kehidupan bakal mendewasakan dan menjadikanmu seorang insan yang kuat dan cekal. Oleh itu, jangan pernah kamu merasakan untuk berputus asa di tengah jalan, namun berusaha dan bertawakallah kepada-Nya agar urusanmu dipermudahkan serta diberkati oleh-Nya. Semoga kehidupan ini menjadikanmu seorang insan yang bermanfaat serta beroleh tempat yang mulia disisi-Nya.

bottom of page