Pentas Pengucapan Awam Kembali Bernafas
Oleh: Hussain Hakimi
Alhamdulillah, tengah hari tadi, saya bersama-sama rakan seprogram Muhamad Mursyidi dapat berkongsi serba sedikit tentang pendidikan politik yang diolah dan diterangkan secara mudah difahami, ringkas penerangan dan langsung menyentuh isi dan topik yang kritikal bagi kumpulan mahasiswa aka pengundi muda tahu tentangnya. Saya dapat membawa tajuk "Parti dan Ikon Parti" manakala rakan saya membawa tajuk "Undi 18 dan Hala Tuju". Bagi topik yang saya sampaikan, dapat saya ringkaskan seperti berikut:
1. Parti ialah pertubuhan yang mahu mentadbir negara sesuai dengan ideologi bawaan mereka. Ini kita kena jelas bila bercakap pasal parti. Kita juga kena berhati-hati untuk tidak mencampurkan kefahaman tentang parti politik dengan pilihan raya. Manifesto, serangan saraf, propaganda parti itu semua strategi parti bagi menjuarai hati pengundi. Adapun parti itu sendiri, bila kita jelas apa itu parti, kita akan tahu cara untuk menentukan siapa yang layak menerajui kerajaan.
2. Ideologi parti pula perlu diteliti selepas jelas apa itu parti. Cara paling mudah dan ringkas untuk tahu ideologi parti ialah membaca perlembagaan mereka. Lebih mudah lagi, semuanya wujud di hujung jari dan mampu dicari di Google terus. Mahasiswa kena jelas ideologi setiap parti supaya mereka dapat mentadbir kerajaan Malaysia dengan model Malaysia, bukan celupan dari mana-mana model asing. Walau seganjil dan unorthodox mana pun cara yang diambil parti, identiti Malaysia tidak boleh digadai.
3. Sebagai mahasiswa APIUM, kena tegas berprinsip agar Islam itu mampu ditegakkan dalam ruang eksekutif simbolik. Soal bagaimana cara Islam diterjemahkan dalam skop pentadbiran, siapa yang menterjemahkan, itu perbahasan lanjut dan perlu diteliti lebih dalam. Sebelum masuk kepada perbahasan itu, kena jelas terlebih dahulu apa ideologi setiap parti supaya penilaian lanjut tidak tersasar.
4. Ikon parti/Posterboy ialah model yang dijaja oleh parti politik untuk menjadi wajah kepada parti. Tidak semua pengundi mempunyai masa yang banyak untuk mengkaji perihal setiap parti. Maka, cara paling mudah, simplistik dan kena dengan selera ialah dengan melihat siapa wajah parti itu.
5. Mahasiswa perlu mengundi dengan berkualiti. Setiap undi yang mahasiswa buang sepatutnya berasaskan penilaian track record parti, dan calon, pengiktirafan yang diterima, sumbangan mereka kepada masyarakat dll, bukan kepada kayu ukur yang simplistik dan terlalu cetek serta dipengaruhi oleh sentimen dan naratif serangan semata-mata.
Sejujurnya, agak berpuas hati dan gembira apabila diakhir sesi pertama hari ini, PM Dr. WZ Kamaruddin Ali dan Dr. Mohd Zuhdi singgah ke corner kami dan memuji inisiatif ini untuk menghidupkan kembali pentas pengucapan awam di kalangan pelajar. Jom sama-sama hadir juga ke slot pengucapan awam yang seterusnya pula.
Hussain Hakimi
Tahun 3
Jabatan Siyasah Syar'iyah
Akademi Pengajian Islam