Bercinta Bukan Hiburan, Tapi Ibadah dan TanggungJawab
Oleh: Hussain Hakimi
Sejak kehidupan kampus kembali fizikal, kampus kembali dipenuhi dengan manusia dan aktiviti-aktiviti sosial kembali rancak. Tak kurang juga aktiviti berpersatuan. Tetapi yang menjadi agak canggung di mata, bila kerap kali melihat lelaki dan wanita, yang pada wajah dan rupanya jelas kelihatan muda, sering berdua-duaan walaupun di tempat yang terbuka. Baik bersukan, makan, mahupun duduk melepak di kaki lima jalanan kampus.
Persepsi awal dari yang melihat pastinya akan berpendapat bahawa mereka itu sedang bercinta, jika tidak pun, berteman tapi mesra. Sejujurnya, budaya ini tidak molek di mata saya yang serba kurangnya ini. Bukan kerana menafikan fitrah mencintai berlainan jantina, tidak sama sekali. Tetapi, kerana tidak manis dilihat orang untuk lelaki teruna dan wanita perawan duduk berdua-duaan tanpa apa-apa hubungan yang sah. Seringkali jika terlihat ada yang berdua-duaan, saya selalu akan membayangkan jika keadaan tersebut berlaku kepada adik beradik sendiri, dan memang, akan timbul - jika tidak menggelojak, sedikit pun ada - perasaan tidak selesa dan ingin marah. Namun, saya sendiri yakin dan tahu memarahi bukan solusi kepada budaya begini.
Nilai kesopanan dan kesusilaan itu perlu diterangkan semula kepada mahasiswa agar kehidupan dipandu bukan dengan fakta dan rasional semata-mata, tetapi juga moral dan etika. Berkahwin dan bercinta itu bukan lagi jenaka picisan, tapi fasa peralihan kepada dunia kedewasaan. Menjadi dewasa pula sepatutnya seorang dewasa yang jelas kompas moralnya, teguh prinsipnya dan baik budi pekertinya.
Fitrah mencintai berlainan jantina ini, perlu diraikan tetapi perlu juga diuruskan dengan molek dan baik. Wanita itu darjatnya tinggi dan perlu dipelihara. Lelaki pula tugasnya besar dan tanggungjawabnya banyak. Semoleknya rasa mahu bercinta ini, dihalakan ke arah yang sah dan menjamin kesejahteraan dunia akhirat agar setiap cinta itu tidak berakhir dengan "break up", "broken" yang akhirnya perlukan kepada "healing". Kita uruskannya sehingga berjaya memanifestasikan "ibadah" yang akhirnya dapat meninggalkan waris umat Muhammad SAW yang membina legasi.
Persatuan-persatuan Islam perlu kembali merancakkan program advokasi cara menguruskan hubungan percintaan berpandukan syara', bukan sekadar berfokus kepada aktiviti kaderisasi semata-mata. Apa guna masyarakat sedang buntu dan hanyut, tapi kita leka beriadah dan berusrah, menyimpan ilmu sekadar kepada mereka yang mahu tapi tidak sampaikan kepada mereka yang perlu.
Tidak memadai mengajar cara bercinta dengan sekadar menganjurkan kursus perkahwinan. Biar Muslim itu sempurna pada individu nya, berkualiti juga pada keluarganya.
Hussain Hakimi
Akademi Pengajian Islam UM
2 November 2022