Biar Generasiku Jadi Penutupnya
Oleh: Hussain Hakimi
Kehangatan PRU15 kian terasa. Ramai juga yang sudah mula mempamerkan kecenderungan masing-masing, sudah mula bertukar pendapat akan undi dan sokong siapa. Tidak kurang juga yang menggayakan mesej masing-masing dalam bentuk video trending di media sosial. Rancak dan menarik semuanya.
Akan tetapi, masih ada yang enggan menonjolkan kecenderungannya kerana risaukan karier kelak bagi yang bekerja, risaukan pergaulan sesama ahli keluarga dan kenalan akan retak kerana tidak sehaluan dalam berparti politik. Jujur dari hati, saya sedih apabila generasiku turut terkesan dengan perpecahan sosial yang berlaku rentetan perbezaan aliran politik. Seingat saya, tidak pernah lagi saya berjumpa atau berkenalan dengan mereka yang melampau dalam berparti politik sehingga menghukum sekian-sekian keputusan yang ekstrem. Dari satu sudut, Alhamdulillah sentiasa dipertemukan dengan orang baik-baik. Dari satu sudut lain, boleh dibaca secara kasar, generasiku tidak menggemari pun ekstremisme dalam berpolitik.
Kepada generasiku Melayu Muslim, beringatlah bahawa Islam tidak mengajar untuk bermusuhan, tetapi memerintahkan kita sentiasa merapatkan hubungan dan bermesra dengan sekalian manusia. Sedangkan warna kulit dan darah keturunan pun tidak menunjukkan beza mulia dan hina darjat seseorang, apatah lagi parti politik yang sekian cabang dari cabangan kehidupan.
Kepada generasiku selain Melayu Muslim, ketahuilah kami tidak mengkehendaki pun bermusuh dengan kalian. Bahkan yang lebih kami mahu adalah kalian fahami apa yang kami bawa dalam Islam, apa yang kami amal sebagai Melayu.
Kepada generasi sebelum saya, saya faham perselisihan yang berlaku disebabkan hukum yang gopoh, keputusan yang terburu-buru dan serangan fizikal mahupun saraf kerana berbeza aliran politik telah menanam parut di hati kalian. Namun, sangat ku mohon agar tidak dipalitkan luka itu kepada kami, tidak ditanam rasa benci dan jelek itu kepada kami. Biarlah parut itu terhenti pada sebelum kami. Didiklah kami agar berkasih sayang walau tidak sealiran parti. Didiklah kami agar menghargai bersaudara dari mencari seteru sentiasa.
Kepada penyokong, pendokong dan penggerak parti (jika ada yang membaca), buktikanlah Budaya Politik Matang dan Sejahtera kalian itu dalam politik mu. Kami bukan lagi pengikut totok yang akan mengikut cercaan, perlian dan hinaan kalian itu. Usah beretorik jika tak mahu praktik.
Demi generasiku, aku berpesan juga untuk aku.
Hussain Hakimi
16 November 2022