Kebebasan Berfikir Mahasiswa
Oleh: Ku Sarah binti Ku Abd Hamid
Mahasiswa terkenal dengan aktiviti berfikir kerana proses pendidikan memerlukan tindakan akal untuk memproses segala maklumat. Apatahlagi lagi gelanggang mahasiswa bukan hanya pada pembacaan, kelas dan pengajian semata-mata malah meliputi ruang lingkup khidmat kepada masyarakat. Menurut pandangan Dr Wan Mohd Daud keberhasilan pengajian oleh mahasiswa adalah ketika mahasiswa siap sedia berkhidmat untuk masyarakat. Pastinya dalam proses khidmat ini memerlukan kekuatan daya fikir yang tinggi bagi merangka, membina dan melaksanakan perubahan yang berimpak kepada masyarakat.
Namun dalam aktiviti berfikir juga kita tidak boleh menafikan di sana berlakunya kebebasan pemikiran yang dipengaruhi oleh unsur sekularisme dan pembaratan. Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas (2011) menegaskan kebebasan dalam berfikir akan membuat manusia berfikir dengan memandang kepada Barat sebagai punca kemajuan melalui pembaratan dan tidak lagi memandang agama sebagai sumber cara hidup melalui pengaruh sekularisme. Mahasiswa yang menganuti kebebasan berfikir berkiblatkan Barat dan modenisme akan mula menolak atau bersifat acuh tak acuh terhadap agama serta memandang rendah kepada jati diri, sejarah dan kebudayaan Melayu. Beliau turut berpandangan kemunculan ideologi yang bertentangan dengan agama dan budaya cara hidup tempatan seperti sekularisme dan pembaratan apabila manusia berfikir tanpa bersandarkan kepada landasan yang jelas. Dalam hal ini, mahasiswa juga tidak terkecuali untuk terjerumus dalam kebebasan dalam berfikir, terperangkap dengan ideologi yang menyalahi ajaran Islam dan norma masyarakat Melayu.
Disebabkan mahasiswa sangat bersemangat menerokai perkara-perkara baharu, maka buah dan gaya pemikiran yang unik serta asing bagi orang lain akan dilihat sebagai peluang emas untuk memperlihatkan bahawasanya mereka lebih berpendidikan dan boleh membawa banyak perubahan. Tindak balas dan respon mahasiswa hasil kebebasan dalam berfikir boleh dilihat dalam setiap dekad terutamanya dalam dekad 70an. Kebebasan berfikir dalam kalangan mahasiswa ini yang akhirnya menjadi titik tolak perubahan berimpak serta tindak balas mahasiswa terhadap hal hal sekitar dan masyarakat sendiri.
Berfikir tidak salah bahkan memang dapat memberikan kebaikan kepada agama, sosial dan masyarakat. Malah dengan fikir, cetusan idea baharu dapat dimanifestasi dalam usaha merintis pencapaian yang baru dan bernas. Namun dalam kebebasan berfikir ini, mahasiswa Islam terutamanya yang berada di saf hadapan menjadi penggerak kepada mana-mana persatuan mahupun gerakan tidak boleh meninggalkan tauhid dan syariat. Kerana kita menyedari sebebas mana pun kita dalam menggunakan akal, wahyu dan syariat tidak boleh dijadikan pilihan kedua.
Mesti diakui bahawa berfikir yang tidak berpijak pada landasan dan disiplin ilmu akhirnya menyebabkan mahasiswa 'meroket' dengan bekal ideologi penjajah dan meruntuhkan institusi yang memerlukan santunan nilai agama. Jika fikir juga tidak terangkum dalam kerangka agama maka ke mana slogan yang dibawa bahawa Islam adalah cara hidup sedangkan seluruh sistem kehidupan berjaya diangkat menjadi peradaban gemilang dengan neraca ilmu dan Islam?
Wallahua'lam.
11 April 2022
9 Ramadan 1443 H