top of page

Pesanan Tok Mud Untuk Bangsa Dan Agama

Oleh: Hussain Hakimi

Jumaat lepas, pihak Lajnah Siyasah Syar'iyah telah berjaya menganjurkan satu wacana politik bersama Prof Emiritus Dr. Mahmood Zuhdi (mesra dipanggil Tok Mud oleh warga APIUM) bersempena Minggu Mahasiswa Cakna Politik. Sungguh, saya rasakan sangat banyak pesanan yang disampaikan Tok Mud perlu dipanjangkan kepada semua anak muda umumnya, kepada pelajar pengajian Islam khususnya. 

 

1. Antara pesanan yang utama ialah Tok Mud keras menegur sikap puak Melayu-Islam yang begitu layu dari mengorak perubahan. Beliau menegur keras sikap anak muda mahupun tua yang hari ini lebih menjadi pak turut kepada sistem sedia ada dan layu dari menjadi penambah baik kepada sistem tersebut. Bagi menegaskan lagi teguran beliau, pengalaman beliau sewaktu menjadi dekan dan sewaktu berjaya menembusi meja pentadbiran utama di kampus dijadikan sandaran. Saat dipertikai untuk mengadakan kursus Syariah dan Pengurusan di APIUM, saat disoal seorang pelajar tentang keinginannya dalam belajar dan pengalaman sewaktu mahu mula-mula menyambung pengajian tinggi. Kita selaku generasi muda kini sangat wajar dan perlu untuk mengambil mesej dari pesanan beliau ini.

 

2. Beliau juga menegur sikap bangsa Melayu yang sangat terleka dan hanyut dalam politik kebencian. Budaya sebegini telah wujud sekian lama lagi dan masih membarah di tanah air ini. Masing-masing berfikir apa aku boleh dapat, sedangkan seorang negarawan sejati akan berfikir apa negara aku akan jadi. Terutamanya berkenaan manifesto. Begitulah pemikiran seorang intelektual. Menjangkaui pandangan alam orang kebanyakan.

 

3. Lain daripada itu, beliau menjawab soalan yang saya tanyakan dengan memberitahu bahawa setiap pelajar pengajian Islam perlu bangkit dengan inisiatif yang lebih membangun insan dan membina kredibiliti seorang pemimpin. Saya kira, teguran ini antara yang paling membekas dalam fikiran saya dua tiga hari ni memandangkan kursus saya sendiri memang berfokus kepada memahami sistem pentadbiran negara dan yang berkualiti itu bagaimana. Idealisme dan realisme pentadbiran itu diajarkan dalam program kami, namun ke mana pergi kualiti keluaran kursus kami? Sungguh, memberi muhasabah yang mendalam kepada penulis ini.

 

Generasi muda seharusnya menghargai kewujudan para intelektual yang banyak menyumbangkan idea yang kritis demi pembangunan agama, bangsa dan negara. Menghargai kewujudan mereka bukan semata-mata dengan menggantung gambar mereka dalam poster dan bingkai tetapi dengan menerima idea mereka seterusnya mengadun idea itu agar sesuai dengan lanskap zaman generasi muda. Mereka ialah pinjaman dari Allah, bermakna tidak selamanya mereka akan ada bersama-sama dan mampu untuk menyumbangkan idea. Selama mana mereka masih ada, semangat, idealisme, pengalaman mereka sangat perlu diambil dan dijadikan panduan serta pedoman kehidupan. Kita bukan bangkit bagi meruntuhkan status quo seperti jajaan sosialis yang bersifat anti-establishment, tetapi bagi menambahbaik status quo agar agama mampu memenuhi keperluan semasa sesuai dengan konsep ihsan dalam bekerja. 

 

Perlu diingati, kelalaian kita hari ini, keseksaan generasi hari esok.

 

Hussain Hakimi 

Teratak Mawaddah

13 November 2022

bottom of page